Tuesday 30 June 2009

Ayam Putih Dan Manohara.


Setelah sekian lama tak balik ke rumah mak-ayah di Johor, malam semalam penulis mengambil keputusan untuk balik kampung. Balik dengan menaiki bas dari Pudu Raya. Johor negeri kelahiran penulis dan di sini juga penulis menghabiskan masa kanak-kanak yang selalu dipenuhi riang-ria sampai usia 17 tahun barulah berpindah ke Lembah Klang, atau orang Johor panggil "Kei El".

Sudah lama benar rasanya tidak menghidu bau rumah yang harum, setor yang berhabuk, kambing yang busuk dan bau reban ayam yang membunuh itu. Walaupun bau reban ayam itu lebih hebat dan dahsyat dari bau ketiak tanpa deodorant yang tak mandi setelah penat balik berkerja... baunya tetap dirindui. Dan kehadiran ayam hutan berbulu putih mulus di reban yang bersejarah itu mencipta satu lagi sejarah buat reban ayam yang penuh dengan sejarah itu.

Menurut riwayat "kaki ekor" yang suka akan bidang perbomohan nombor ekor ("kaki ekor" adalah gelaran bagi tahi judi nombor ekor tanpa mengira sama ada ianya 4D Magnum, Da Ma Cai "Kuda" maupun Sport Toto yang Mega, Jackpot, Super, 6D, 5D ataupun 4D), ayam hutan berbulu warna putih mulus itu adalah ayam milik orang bunian yang tinggal di dalam hutan dan boleh menjadi bahan asas yang sangat-sangat mujarab bagi proses meminta atau menurun nombor ekor... Kah kah kah kah.

Sungguh pun begitu menurut emak penulis yang juga pemilik ayam hutan berbulu warna putih mulus tersebut, setakat ini beliau tidak pernah pun didatangi oleh mana-mana pihak berkepentingan seperti tahi-tahi judi mahupun tahi-tahi masyarakat bagi mengetahui tentang ayam tersebut. Menurut riwayat yang pernah di dengar, pernah terjadi dulu di kawasan perladangan kelapa sawit Tunjuk Laut yang terletak diantara Mersing dan Kota Tinggi, Johor akan hal yang membabitkan ayam hutan berbulu warna putih ini. Ada orang pernah memiliki ayam hutan berbulu putih mulus yang semacam milik emak penulis itu disana, maka dibomohkannya ayam itu dengan seorang bomoh nombor ekor, maka menjadilah nombornya naik nombor satu tak lama kemudian. Konon cerita dia kaya sekejap saja, fasal tak lama lepas tu mati terkejut di kedai kopi di bandar Kota Tinggi. Mungkin mati terkejut fasal kaya tiba-tiba agaknya... Wallahhualam, hanya Allah yang mengetahui. Dan penulis juga tak berapa nak sohih tentang siapakah gerangan periwayat cerita ini... Boleh percaya atau tidak pun tak tahu nak cakap.

Emak penulis, seperti juga ayah memang seorang yang banyak bercakap. Kalau ayah suka bercakap fasal politik, emak pula suka bercakap fasal apa saja yang bukan politik. Jadi maka itu pertumbuhan otak penulis telah dilengkapi dengan idea-idea politik dan juga idea-idea yang bukan politik. Ini kerana sejak kecil lagi sudah didendangkan dengan nyanyian tanpa muzik dari bebelan ayah dan emak yang politik dan yang tidak politik itu. Tapi mungkin disebabkan ayah selalu keluar berkerja maka idea-idea dari emak lebih banyak masuk ke otak berbanding idea-idea dari ayah dan mungkin disebab itu juga agaknya saya mengambil langkah menyertai Parti Keadilan Rakyat yang agak berlainan dari parti-parti politik yang disertai oleh kebanyakkan orang Melayu di Johor ini.

Jadi disebabkan oleh ayah tiada di rumah siang tadi sebab berkerja. Maka emaklah yang menemani penulis berborak tentang pelbagai isu. Dan isu yang paling menarik perhatian adalah isu Manohara Odelia Pinot yang gelar namanya Cik Puan Temenggong Kelantan, isteri sah Tengku Temenggong Kelantan Darul Naim. Isu sensasi ini tidaklah begitu sensasi kalau di Lembah Klang fasal isu-isu politik negara lebih panas gejolak apinya dari cerita rumah tangga VIP ini. Panas jugalah sekejap, tapi sekejap saja, tak sepanas di Johor Bahru. Salah satu sebabnya adalah kerana isu sensasi ini telah disensasikan oleh media elektronik dari negara jiran Indonesia dengan letupan tahap bom nuklier dan siaran TV Indonesia boleh didapati di sini. Kalau orang Lembah Klang baru boleh menikmati pelbagai siaran TV hanya setelah Astro wujud, orang Johor Bahru sudahpun menikmati siaran TV yang pelbagai sejak lama dulu. Bukan saja ada TV Malaysia 1, 2, 3 tapi juga Chanel 5, 8, Suria dari Singapura dan SCTV, RCTE, TRANS TV dari Indonesia dan ada banyak lagi saluran TV Singapura dan Indonesia yang dah lupa apa namanya.

Memang mendengar dari mulut emak yang sudah dipengaruhi oleh siaran TV dari Indonesia itu, sadis mendengarkan kisah nasib malang gadis muda berusia 17 tahun ini. Dan di TV Indonesia ianya lebih disadiskan lagi oleh pengamal medianya. Macam kata dalam filem P.Ramlee, Madu Tiga...

"Kesian..."

"Eh, kenapa kesian?"

"Kesian..."

"Iyalah, kenapa kesian?"

"Ish, ish, ish kesian..."

"Dah gila agaknya budak ni!!!". Jawab bini muda Jamil.

Pada pandangan penulis yang akal tak berapa nak dalam ni. Dalam menilai atau melihat kes Manohara itu haruslah dari pelbagai sudut pandang. Tidak boleh hanya di pandang dari perspektif Indonesia saja dan tidak boleh pula di pandang dari perspektif
Malaysia saja. Tidak boleh hanya menilai dari sudut pandang Manohara dan ibunya sahaja dan tidak boleh menilai hanya dari sudut pandang Tengku Temenggong Kelantan dan peguam beliau sahaja. Masukkan juga keadaan semasa, alam sekitar, usia, berbezaan adat dan budaya dan banyak yang lain-lain lagi.

Pada perspektif penulis, yang pertama kenapa Manohara ini dikahwinkan pada usia 15-16 tahun? Bukankah ini usia yang terlalu muda untuk berkahwin di zaman ini? Kalau zaman dahulu-kala, zaman datuk-nenek kita, di seluruh Nusantara ini baik di Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi dan seluruh gugusan kepulauan Melayu, berkahwin pada usia begini memang selalu saja terjadi dan menjadi kebiasaan. Kalau berkahwin pada usia 30an akan di anggap lewat dan jarang terjadi sebab keluarga baik lelaki maupun perempuan akan sedaya-upaya mencarikan jodoh untuk anak-anak bujang mereka supaya tidak dikutuk orang kampung dengan gelar bujang tua atau anak dara tua. Nenek penulis berkahwin pada usia 14 tahun. Tak lama lepas berumah tangga Jepun datang menjajah tanah ini. Ini zaman dulu-kala. Tapi di zaman yang serba mencabar lagi canggih ini bagaimana bisa? Berkahwin pada usia muda bukanlah satu kebiasaan lagi. Kalau berkahwin pada usia 17 tahun sekali pun akan dilihat aneh, inikan pula 15 atau 16 tahun. Apakah potensi atau kebolahan anak muda ini bisa berkembang lebih lebar dan berjaya lagi setelah dibebani tanggungjawabnya sebagai isteri? Atau apakah potensi diri anak muda ini akan ditamatkan saja setelah berumah tangga dengan jejaka idaman? Apakah menjadi seorang isteri itu kemuncak pencapaian yang hendak di tuju? Bolehkah anak muda ini nanti jadi isteri yang baik dan bertanggungjawab penuh terhadap suami dan rumah-tangganya? Rasa tanggungjawab apa yang difikiran oleh anak berusia 14, 15, 16 tahun ini terhadap suaminya? Sedangkan pengetahuan berkenaan persenyawaan sperma dan ovum baru saja di pelajari di tingkatan tiga! Iaitu pada usia 15 tahun!

Siapa punya angkara yang menikahkan Manohara ini? Dan perasaan apa pula yang dimiliki oleh insan yang sanggup menerimanya sebagai isteri? Manohara ini berkahwin dengan anak seorang sultan. Bukan sepupu sultan, bukan anak saudara sultan, bukan anak orang marhaen yang merima darjah kerabat (D.K) dari sultan. Bukan! ini anak sultan yang mempunyai gelaran yang panjang dan agak susah disebut orang kebanyakan dan menduduki tangga antara yang teratas bagi mewarisi sebuah tahta kerajaan yang berdaulat. Jadi peranan isteri orang yang semacam ini tak sama dengan peranan isteri penulis (yang belum pasti siapalah gerangan orangnya nanti...). Jadi tanggung-jawab isteri orang yang begini pastilah besar sekali.

Ambil Puteri Masako dari Jepun sebagai contoh. Puteri negara matahari terbit ini seorang yang berpelajaran tinggi. Pernah berkerja pula dengan diplomat-diplomat. Usianya matang, bukan budak-budak. Keturunannya baik-baik, bukan kalangan artis yang penuh skandal seks, dadah maupun jiwa. Dan dari sini kita boleh menilai yang beliau bukan calang-calang orang berbanding Manohara yang cuma seorang model yang bermodalkan wajah dan tubuh cantik serta gaya yang gedik-gedik. Seorang diplomat atau orang yang berkerja dengan mana-mana diplomat mestilah orang yang sangat sopan-santun dan bertata tertib, mesti tahu cara yang paling baik untuk berkomunikasi dengan orang lain dengan tidak mendatangkan marah mana-mana pihak, harus selalu mengalah atau diam saja. Dan manusia yang bernama Masako ini pun kadang-kadang tidak tahan dan tertekan dengan tata-cara istana Jepun itu, inikan pula anak remaja yang baru meningkat usia yang tidak berpelajaran tinggi, tidak berpengalaman luas dalam pergaulan dengan golongan aristokrat dan gedik-gedik pula.

Isteri kepada seseorang yang bergelar Tengku Temenggong Kelantan itu bukan hanya mempunyai tanggungjawab sebagai seorang isteri kepada suaminya sahaja. Isteri orang yang bergelaran seperti ini memegang jawatan dan gelaran sebagai "Cik Puan Temenggong Kelantan". Dan jawatan dan gelaran ini bukan percuma. Ia datang dengan tanggungjawab berat, bukan free, bukan boleh nak makan gaji buta. Otak apa yang diguna pakai sampai boleh memilih kanak-kanak yang seperti Manohara ini untuk memegang jawatan dan gelaran "Cik Puan Temenggong Kelantan". Apakah sudah tidak ada pilihan lain? Apakah di Malaysia ini tidak ada lagi anak-anak raja yang cantik-cantik, yang elok-elok, yang sopan-sopan? Atau anak-anak pembesar lainnya. Atau lain-lain wanita yang berpelajaran, berakal datau berotak? Atau apakah kerana kecantikannya maka semua yang terlibat dengan kes ini telah dibius cinta macam lagu Melly Goeslow yang terkenal itu?

Sebab itu kita kena kembali kepada jalan Allah, kembali kepada Al-Quran dan as-sunnah. Semua orang tahu kalau Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda bahawasanya kalau nak mencari isteri itu carilah yang beragama... Jangan mentang-mentang orang tu seksi dan gedik-gedik dia membuat hati kita cair dan mengelegak nafsu serakah kita, terus saja kita berkehandakkan dia supaya menjadi bini kita. Jangan yeop!!! Berpikio kome!!! Nanti menyesal tak sudah...

Penyudahnya jadilah macam orang yang meminta nombor ekor pakai ayam hutan berbulu warna putih tadi... Kaya dan bahagia cuma sekejap, tak lama mati... Innalillahhiwainnalillahhirojiun...

(Kalau nak di panjangkan cerita ni memang sangat-sangat panjang. Tapi rasanya cukuplah sampai sini je... emmm...)

1 comment: